Kampung Batu 23 Sungai Nibong merupakan salah sebuah kampung yang terdapat di Mukim Pasir Panjang. Sebenarnya Kampung Batu 23 ini adalah pecahan dari Kampung Pasir Panjang. Pada awalnya Kampung Batu 23 ini tidak wujud tetapi yang wujud ialah Kampung Asam Jawa. Nama Kampung Asam Jawa ini diperolehi kerana di tepi ban lama kampung ini terdapat sebatang pokok asam jawa yang besar.
Menurut cerita Kampung Asam Jawa ini telah diteroka pada tahun 1912 iaitu diketuai oleh Pawang Saad yang berasal dari Melaka bersama beberapa orang pengikutnya. Kedatangan mereka adalah melalui jalan sungai dan seterusnya mereka telah berkampung dan meneroka Kampung Asam Jawa. Lama kelamaan kawasan ini semakin luas sehingga sampai ke Sekinchan dan semakin ramai sanak saudara dan keluarga peneroka awal terutama orang-orang dari Melaka dan Johor yang berpindah ke sini. Kawasan petempatan juga semakin berkembang sehingga ke tepi pantai dan hutan pula diteroka untuk tujuan bertani. Penghulu Kampung Pasir Panjang yang pertama ialah Tuan Haji Said yang mentadbir dari Sekinchan hingga ke Sungai Nibong.
Kampung Asam Jawa kemudiannya dinamakan Kampung Sungai Nibong kerana di tepi sungai kawasan ini banyak terdapat pokok-pokok nibung yang tumbuh. Semakin hari penduduk Sungai Nibong ini juga semakin bertambah dan pentadbiran juga bertukar ganti di mana jawatan ketua kampung telah diganti oleh Tuan Haji Omar bin Haji Saidiaitu anak kepada Penghulu Haji said.
Oleh kerana keadaan penduduk yang semakin ramai maka satu keputusan telah diambil untuk mengecilkan pentadbiran kawasan. Pemecahan kampung ini telah menyebabkan Kampung Sungai Nibong berada di bawah kepimpinan Tuan Haji Said bin Karibun sebagai ketua. Pada tahun 1972 beliau telah dilantik sebagai Ketua Kampung
Di peringkat awal Kampung Batu 23 Sungai Nibong berada di bawah pentadbiran Daerah Kuala Selangor. Namun begitu disebabkan telah ada Kampung Asam Jawa di daerah ini maka Kampung Asam Jawa di kawasan Pasir Panjang telah ditujar namanya kepada Kampung Batu 23 Sungai Nibong. Ini juga bermakna jarak pentadbiran kampung ini dari Kuala Selangor ialah sejauh 23 batu. Jadi jauh jarak itulah yang telah digunakan sebagai nama Kampung Batu 23 Sungai Nibong pada hari ini.
Pada asalnya pancang batu untuk menandakan jarak di Kampung Batu 23 ditulis sebagai ' BM 23' . Perkataan 'BM' ini membawa maksud British Malaya kerana pada waktu itu pihak British telah membina sistem jalan raya bagi menghubungkan kawasan pedalaman dengan pusat daerah. Semasa kerja-kerja mengukur jarak dilaksanakan jarak dari Kuala Selangor ke Sungai Nibong adalah 23 batu. Oleh itu ditandakan pada pancang batu di kawasan ini sebagai ' BM 23 '. Maka nama kampung ini pun kekal sebagai Kampung Batu 23 Sungai Nibong. Walau bagaimanapun pada masa kini tempat pancang batu 'BM' itu kini sudah dibuat parit serta jalan raya dan tidak diketahui lagi di mana kedudukan sebenar batu itu.
Kebanyakan penduduk di sini ialah orang Melayu keturunan Melaka-Jawa. Ini kerana penduduk awal yang meneroka kawasan ini kebanyakannya datang dari negeri Melaka dan diikuti oleh orang-orang yang berhijrah dari Tanah Jawa. Peneroka awal yang membuka kampung ini ialah Pawang Saad berasah dari Melaka dan beliauterkenal kerana ilmunya dalam bidang perubatan tradisional.
Menurut cerita Pawang Saad merupakan peneroka awal di kawasan ini yang mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Salah satu keistimewaannya ialah kemampuan menjinak dan membanting buaya hanya dengan menggunakan lidi sahaja. Dalam satu peristiwa pernah seekor buaya yang tersesat telah terdampar di kawasan anak sungai sekitar Pasir Panjang. Pawang Saad telah menunjukkan kehebatannya dengan menggunakan lidi sahaja untuk menghalau dan menangkap buaya tersebut. Oleh sebab itu beliau juga dikenali sebagai Pawang Buaya.
No comments:
Post a Comment